Sunday, December 26, 2010

Cucu-cucu mak di Perkampungan Al-Quran



















Aboy (Mohd Safuan bin Bahzid) menerima hadiah Hari Jadi

Buat julung-julung kalinya Masjid Qaryah Sikamat menganjurkan program Perkampungan Al-Quran, Remaja Cemerlang bermula pada 11-25hb Disember 2010.

Alhamdulillah, seramai empat orang cucu-cucu mak telah menyertai program ini. Jumlah keseluruhan peserta ialah 50 orang.



















Amir dapat saguhati

Daripada keseluruhan peserta, Ahmad Afif Amiruddin bin Mohd Hishamuddin (11 tahun) berjaya mendapat saguhati dalam pertandingan hafazan manakala Mohd Syafik bin Mohd Zulkifli (14 tahun) pula dinobatkan sebagai 'Remaja Teladan'.



















Mohd Syafik telah dinobatkan sebagai 'Remaja Teladan'

Pihak Masjid juga tidak lupa menyediakan hadiah Hari Jadi buat Mohd Safuan bin Bahzid (13 tahun).Hadiah disampaikan sendiri oleh ibunya , Norfadhilah binti Mansor.

Manakala Ikmal bin Mohd Zulkifli, tidak menerima apa-apa hadiah cuma Sijil Penyertaan sahaja. Tidak mengapa Ikmal...., cuba lagi pada tahun hadapan!



















Antara tetamu yang turut memeriahkan majlis

Friday, December 24, 2010

8 A PMR, TAHNIAH IZZATI !

Anak Kak Ni yang bernama Izzati telah mendapat 8 A dalam PMR 2010.

Dengan kejayaan ini, Izzati berjaya merangkul wang tunai sebanyak RM 80.00 hasil sumbangan dari koperasi kelab keluarga.

Tahniah !

Thursday, December 2, 2010

Kisah abang Kamal - Siri 1

























Abang Kamal anak ke 7

Tujuan aku menulis ini adalah sekadar mengimbau kembali kisah-kisah lama kehidupan kami adik-beradik untuk dikongsikan bersama agar pengalaman-pengalaman lepas tidak dilupakan begitu sahaja. Kisah-kisah ini berdasarkan apa yang aku ingat sahaja.

Mungkin ada lagi kisah yang menarik dari adik-beradik lain tidak dapat aku paparkan kerana bukan mudah hendak mengingati kembali kisah-kisah lampau yang sudah berlaku berpuluh-puluh tahun lamanya. Mohon maaf juga pada adik-beradik yang tidak dapat disebutkan dalam kisah ini. Yang baik kita jadikan teladan sebagai panduan kehidupan dan yang buruk kita jauhkan. Semoga sudi membaca.

Kelahiran

Aku dilahirkan 47 tahun yang lalu di Kampung Padang Lebar, Rembau, N. Sembilan. Aku anak yang ke-7 dari 13 orang adik beradik (6 lelaki dan 7 perempuan). Adik beradik aku ada yang dilahirkan di Negeri Sembilan, Singapura dan Kuala Lumpur. Ada yang dilahirkan di Singapura kerana pada masa tu Arwah abah masih berkhidmat sebagai Polis Singapura dan pernah bekerja sebagai Penolong Pengarah filem (filem Raja Bersiong).

Tidak lama selepas itu, arwah abah berhenti mencari rezeki di Singapura dan berhijrah ke Malaya menyambung kehidupan bersama mak dan anak-anak.

Mengikut cerita mak , selepas kira-kira setahun aku di lahirkan di Kg. Padang Lebar, Rembau, kami sekeluarga menetap (menyewa rumah) di Kg. Datuk Keramat, Kuala Lumpur selama beberapa tahun kerana Arwah abah dapat bekerja sebagai wartawan Utusan Melayu, Kuala Lumpur.

Bersekolah

Aku di besarkan di Kuala Lumpur sehinggalah Darjah Dua di Sekolah Kebangsaan Jalan Gurney Satu. Mengikut cerita dari Kak Ni, semasa kecil aku adalah anak yang paling banyak bermasaalah iaitu kerap sakit, demam, selalu meragam, berkudis dan selalu benar sakit perut (sampai berak merata-rata kerana tak tahan, Kak Ni lah yang selalu membersihkan ku dan mencuci pakaian ku), suka bergaduh dan suka menggigit kawan-kawan terutama pada telinga mereka, hinggakan mak kawan jiran sebelah datang komplen pada mak aku. Tapi mak tetap sabar dengan perangaiku.

Disebabkan berpenyakit, badan ku kurus sehingga nampak tulang sampai kawan-kawan dan beberapa penduduk sekitar menggelar ku “Tengkorak Hidup” . Kak Ni lah yang selalu menjaga ku (terima kasih Kak Ni dan juga pada kakak-kakak yang lain) yang sabar membantu mak . Mak aku memang seorang yang sabar dan tabah menjaga anak-anak .

Mak terpaksa bersusah payah berulang-alik ke klinik untuk dapatkan rawatan dan ubatan untuk ku. Kak Ni lah yang selalu mendukung ku, meringankan beban mak. Sementara Arwah abah memang tidak ada di rumah, bekerja dan selalu pulang lewat mencari rezeki menyara hidup kami anak-beranak.

Semasa aku bersekolah, aku dan beberapa orang kawan menaiki kereta seorang mak cik (berasal dari Kelantan). Disebabkan kesempitan hidup keluarga, duit sewa kereta selalu tertunggak . Kerap kali mak cik tu tidak membenarkan aku menaiki keretanya sebab lambat bayar sewa. Kebetulan abang Rahim pergi dan balik sekolah dengan berbasikal, jadi abang Rahim lah yang menjadi mangsa menghantar ku ke sekolah dan menjemput ku dengan basikal.

Jatuh basikal

Dalam perjalanan masa mengayuh basikal, dia merungut dan membebel kepada ku yang suka menyusahkan. Aku hanya membisu. Mulutnya tak henti-henti memarahi ku, tapi aku tahu hatinya baik. Pernah satu ketika, dalam perjalanan ke rumah kami terjatuh di tepi jalan bersama basikal yang ditunggangi. Aku pengsan beberapa minit. Abang Rahim mendukungku membawa ke rumah seorang penduduk di tepi jalan.

Bila tersedar, aku dapati aku berada dalam rumah seorang mak cik yang sangat penyayang dan mengambil berat tentang diriku. Dia memberi kami makan dan minum. Dialah yang menjagaku sehingga aku sedar. Abang Rahim tetap setia di sisiku. Tak lama kemudian, kami ucapkan terima kasih pada makcik tu dan teruskan perjalanan pulang ke rumah.Terima kasih pada abang Rahim.

Tinggal di Rembau

Selepas beberapa tahun di Kuala Lumpur, kami menetap semula di Kampung Padang Lebar, Rembau kerana Arwah abah di pindahkan kerja di Syarikat Utusan Melayu Seremban sebagai Pengurus Cawangan. Arwah abah berasal dari Kg. Perigi Jernih, Rembau dan mempunyai 2 orang adik beradik lagi (Arwah Cik Nino dan Arwah Cik Sinah).
Manakala mak aku adalah anak tunggal kepada Arwah Wan Imai.

Disebabkan anak tunggal dan mengikut adat, mak akulah yang berhak mewarisi rumah pusaka Wan Imai. Jadi Arwah abah setuju tinggal bersama di rumah pusaka tersebut memandangkan Arwah Wan Imai selalu tiada di kampung kerana berkerja di rumah Arwah Raja Tun Mohar di Kuala Lumpur.Tidak beberapa lama, rumah itu pun di besarkan oleh arwah abah dengan menambah bahagian dapur yang lebih selesa dan sempurna.

Arwah abah ada kereta Peogeot

Memang Allah s.w.t murahkan rezeki kami, masa tu hidup kami adik beradik bolehlah dikatakan agak senang berbanding dengan orang-orang kampung. Apa tidaknya, Arwah abah bergaji besar (lebih kurang RM800 sebulan, memang besarlah pada masa tu) dan memiliki kereta Peugeot berwarna hijau muda, No. Plat BR 1967 berulang alik kerja Rembau- Seremban.














Pada masa tu, kalau tidak silap aku, kami lah antara keluarga yang pertama di kampung mampu membeli sebuah television jenama Toshiba, 24 inchi dan sebuah Peti Sejuk, aku tak ingat jenamanya. Cepat betul orang-orang kampong tahu. Tiap-tiap malam jiran-jiran kampung yang berdekatan bertandang ke rumah ku untuk menonton TV. Jiran-jiran ku paling dekat yang merupakan saudara mara ku juga ialah Arwah Wan Awo, anaknya Ensot dan cucu kesayangannya Saloma, Arwah Tok Isa dan anak-anak, keluarga Wan lang Ibut, anak-anak Cik Minah, dan ramai lagi.

Tengok TV dengan orang kampung

Paling ramai kunjungan ialah pada hari Khamis malam Jumaat sebab ada cerita Melayu termasuk cerita paling diminati iaitu filem-filem Allahyarham P. Ramlee dan Nordin Ahmad. Kami adik beradik masa tu jadi orang paling penting dan sibuk melayani penonton-penonton. Apa tidaknya, masing-masing merayu “bukak lah Kama TV tu copek!! apo tunggu laeiii”. Sesekali terdengar suara nyaring dan menyakitkan “lambek bona bukak TV!, kito dah lamo tunggu aaa. Ontah-ontah cerito dah habih!!”

Bila TV di buka (tarik butang) masing-masing senyap dengan mata tak berkelip pandang TV. Kebetulan TV dulu bila di “ON”, gambar mengambil masa nak keluar. Masa tu ada juga yang merayu, membisikkan ke telinga ku“Kama mintak tolong buleh tak! kau kuek kan sikit suaro TV tu, wan tak berapo donga lah!” dan macam-macam permintaan. Masa tu memang bertuahlah dapat tengok TV walaupun hitam putih.

Disebabkan Arwah abah berkereta, bila musim hujan, kami adik beradik lelaki bersama Arwah abah selalu memperbaiki jalan masuk kerumah. Bayangkanlah jalan masuk ke kampung pada masa tu belum bertar, semak dan sempit. Keadaan jalan begitu becak , berlumpur dan licin bila musim hujan. Jadi kami turap dengan batu-batu kecil, pasir dan kalau jalan terlampau teruk kami letakkan kayu atau papan-papan terpakai.

Selepas 2-3 tahun , Arwah abah membeli pula kereta Datsun berwarna putih, No Plat NE 6535 sebab kereta sebelum ni, Peugeot mengalami masaalah enjin. Enjin terbakar semasa Arwah dalam perjalanan pergi kerja. Kebetulan Arwah abah lambat sedikit pergi kerja pada hari tu kerana ada hal penting. Kejadian berlaku di jalan tidak jauh dari rumah Arwah Wan Lang Ibut. Dalam keadaan panik, beberapa orang kampung berlari dan menjerit “Ya Allah hai!!, keto Manso tobaka!!, tolong!tolong!”, ada yang berlari dengan tak berbaju, cuma berkain pelekat (kalau tak silap aku, mungkin arwah abang Malik) mencari air di rumah Arwah Wan lang Ibut , menyimbah ke kereta.

Alhamdulillah, Arwah abah sempat keluar dari kereta. Tak lama kemudian api dapat dipadamkan. Bahagian depan kereta hangus hitam. Terima kasih pada orang-orang kampung yang menolong.

Sekolah di kampung

Di kampung, aku bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Undang Rembau dari Darjah 3 hingga darjah 6. Meneruskan persekolahan menengah di Sek. Menengah Undang Rembau dari Tingkatan 1 hingga 3.

Aku pergi dan pulang sekolah dengan hanya berjalan kaki mengikuti landasan keretapi sejauh 3-5 km. Dalam perjalanan, aku terpaksa menempuh dua jambatan keretapi (satu yang agak panjang dan satu yang pendek) untuk sampai ke sekolah di Rembau. Semasa meniti jambatan ,aku memegang erat tangan adik ku Fadilah (masa tu kami bersekolah rendah). Bila tengok ke bawah memang gayat.

Pernah semasa meniti jambatan, terdengar sayup-sayup bunyi keretapi dari arah belakang, kami cepat-cepat melangkah untuk melepasi jambatan dengan perasaan berdebar-debar tapi tenang. Kami terpaksa meniti jambatan kerana tidak ada pilihan disebabkan di bawah jambatan ada sungai. Ada juga orang-orang kampung yang ternampak aku pimpin tangan adik. Mereka memujiku “baguih boto lah budak tu, sayang boto kek adik” Bila di puji apa lagi kembang lah hidung ku.

Disebabkan jauh, tidak lama selepas itu, adik ku Fadilah di pindahkan oleh mak & Arwah abah ke sekolah yang agak dekat iaitu di Sekolah Keb. Salak Nama, Sg. Layang. Bersekolah bersama Kak Edah dan adikku Izah. Aku pula meneruskan sekolah di Rembau. Bila naik ke Sekolah Menengah, Arwah abah belikan aku sebuah basikal. Aku menunggang basikal pergi dan balik sekolah bersama kawan-kawan sekampung melalui jalan Kg. Perigi Jernih dan Mampong.

Mengaji Al-Quran

Balik dari sekolah (semasa sekolah rendah) aku pergi mengaji Al-Quran di Masjid Kg. Padang Lebar dengan Arwah Nyang Malik, kemudian dengan Arwah Lobai Ujang sehingga khatam. Sebelum tu, aku mengaji muqaddam dengan Arwah Wan Long Ipah. Aku suka mengaji dengan Arwah Wan Long Ipah sebab dia suka memujiku, “good boy!” katanya.

Entah macam mana hatiku terang je mengaji dengan dia iaitu cepat beralih surah dan seterusnya mengaji Al-Quran. Kebetulan Kak Badariah (anak arwah Wan lang Ibut) pun mengaji sama dengan Arwah Wan Long Ipah. Dialah yang menjadi mangsa tempat aku bertanya sampaikan mengganggu dia. Memang aku kagum, dia seorang yang penyabar, tidak jemu melayan ku setiap kali aku bertanya. Masa tu aku memang bersemangat untuk berlumba-lumba dengan anak angkat Arwah Wan Long Ipah iaitu Nor.

Nor adalah anak Arwah Hj. Sijak, diambil oleh Arwah Wan Long Ipah sejak dari kecil. Mengikut cerita mak, kalau aku di lahirkan seorang perempuan, sudah tentu Arwah Tok Long Amat dan Arwah Wan Long Ipah ambilku sebagai anak angkat.

Sambung Mak lagi pada masa kedatangan mereka untuk mengambil ku, Abang Mat lah orang paling benci dengan mereka dan mempertahankan agar aku tidak di ambil. Abg Amat sudah nekad untuk membuat sesuatu kalau aku diambil. Terima kasih abang Mat.

Ngaji dengan Lobai Ujang

Selepas itu aku mengaji dengan Arwah Lobai Ujang. Perasaan aku berdebar sikit dengan orang tua ni sebab dia garang dan cepat marah. Kalau aku silap baca, dia akan pukul kepala aku yang bersongkok dengan rotan sekuat-kuatnya. Aku pun mulalah baca menggigil, lagilah banyak silap! Bukan aku tak tahu membaca tapi disebabkan terlalu takut, bacaanku jadi tunggang langgang. Apo laeei, “ambik kau!” di ketuknya songkok ku lagi.

Muka aku mula masam berkerut, berpura-pura sakit tapi sebenarnya tak sakitpun, sebab di pukulnya songkok tebal yang saja aku tinggikan. Bunyi bukan main kuat lagi…pap!! kawan-kawan lain dengar memang gerun! “Macam nilah, kau buang maso eden, kau poiee duduk sanun dulu, baca boto-boto, lopeh tu datang balik sini yo eden nak donga” kata Lobai Ujang pada ku.

Lama-lama dia pun lupa, aku pun apa lagi chau balik! Yahoo!!

Tolong arwah abah berkebun

Setiap kali balik dari mengaji, sebelah petang kelihatan Arwah abah sedang berkebun dengan berpakaian kotor dan bertopi. Arwah abah memang rajin dan minat berkebun. Arwah abah tanam tebu cina (kuning) sebanyak-banyaknya depan rumah dan terus meliputi kawasan sebelah rumah Arwah Tokndak.

Tiap-tiap petang kelihatan abang Mat dibantu oleh Abang Rahim mengangkut air dari perigi baruh Arwah Nyang Teh untuk menyiram semua tanaman. Memang berat tugas tu, sebab masa tu tidak menggunakan hos dari paip untuk menyiram. Mereka kena mengangkut air dengan tin minyak tanah menggunakan tangan tulang empat kerat. Memang berat dan penat.

Abang-abang ku ni Alhamdulillah, sabar dan sentiasa menurut arahan arwah abah.
Arwah abah memang seorang yang garang, tegas tapi penyayang dengan anak-anak. Satu perangainya yang masih melekat dalam ingatan aku hingga kini ialah dia suka panggil aku kuat-kuat datang ke dia. Apa lagi dia ciumnya aku dan menggeselkan hidungnya ke muka ku.

Tak kira, depan orang ramai pun dia akan buat begitu, sampai aku geli dan merasa malu sebab dia buat begitu sehingga aku masuk sekolah Menengah. Adik-adik yang lain pun senasib dengan ku. Bukan setakat itu, kalau dia jumpa kucing, dia akan ambil kucing tu dan cium muka kucing tu puas-puas sambil menggeselkan hidungnya ke muka kucing tu. Itulah Arwah abah ku.

Alhamdulillah, semua hasil tanaman awah abah subur dan segar. Antara tanaman yang ditanam ialah pucuk pegaga, terung telunjuk, kacang botol, kacang panjang, petola dan lain-lain yang aku tak berapa ingat. Arwah abah juga pernah menanam kangkung dalam sebuah petak sawah depan rumah, memang cepat membiak dan menghijau subur. Seronok mengutip hasilnya.

Selain membantu Arwah abah berkebun di keliling rumah, abang Mat adalah seorang yang aktif, peramah dan periang berbanding dengan abang Rahim yang pendiam, suka tinggal di rumah. Abang Mat bercampur dengan rakan-rakan sebaya di kampung. Mereka selalu berkumpul dan berjumpa.

Abang Mat juga aktif melibatkan diri mempelajari silat cekak, berguru dengan Arwah Oki Salam. Pernah suatu malam mereka mengadakan pertunjukan silat di depan arwah abah, saudara mara dan beberapa penduduk kampung depan rumah Arwah Nyang Teh. Depan orang ramai, bukan main lagi abang Mat melompat membuka langkah pergerakan dengan pekikan suaranya yang memukau. Itulah abng Mat, yang aku tahu, dia seorang yang tidak suka duduk diam, ada saja aktiviti yang dia buat termasuk aktiviti yang dia minat iaitu bertukang.

Bela ayam dan itik

Selain bercucuk tanam, Arwah abah membela ayam dan itik. Aku di tugaskan menjaga itik-itik yang pada mulanya hanya beberapa ekor. Bila musim padi menguning, itik-itik aku lepaskan ke sawah padi. Bila pulang ke reban, tembolok itik-itik ku besar bulat kekenyangan memakan padi-padi disawah. Alangkah terkejutnya aku, keesokan paginya aku lihat dalam reban banyak telur putih bertaburan.

Wah, punyalah aku gembira itik-itik ku sudah bertelur. Aku masuk ke dalam reban mengutip satu persatu , ada yang masih berasa panas lagi (menunjukkan itik baru bertelur). Aku kumpulkan sebanyak-banyaknya, masukkan dalam bakul raga. Aku ingat lagi ada orang dari kampung seberang dating dan memborong telur-telur itik ku untuk di buat telur asin. Aku pun tak tahu menahu tentang duitnya sebab arwah abah yang uruskan.

Disebabkan penghasilan telur yang banyak, arwah abah suruh aku eramkan telur-telur itik oleh seekor ibu ayam yang masa tu sedang mengeram. Alhamdulillah, hampir kesemua telur-telur itik itu menetas mengeluarkan anak-anak itik. Selain itu, arwah abah beli lagi anak-anak itik di Rembau. Maka bertambahlah itik-itik ku dari hanya beberapa ekor mencecah ke beratus ekor.

Bila musim menuai padi tamat, terpaksalah aku siapkan makanan itik-itik ku dengan menyincang sagu setiap petang. Memang aku lepaskan itik-itik aku disebelah pagi ke sawah. Bila petang mereka akan beratur dan berbaris pulang dengan sendiri masuk ke reban. Sebelum masuk ke reban, mereka menjamu selera dengan memakan hirisan sagu yang telah aku sediakan.

Mana yang kenyang dari sawah, terus masuk ke reban. Ada juga, pada hari tertentu itik-itik aku tidak pulang-pulang, jadi terpaksalah aku merayau jauh ke sawah padi sehingga senja, mencari itik-itik ku.

Peristiwa yang tidak ku lupakan

Pada suata hari(semasaku masih bersekolah rendah), aku mengekori seekor ayam betina yang hendak bertelur. Entah macam mana naluri keinginan aku kuat untuk melihat bagaimana ayam bertelur. Bila ayam tu melompat dan duduk ke dalam kotak sarangnya, aku pun perlahan-lahan memanjat reban dan mengintai ayam tu bertelur. MasyaAllah!, dengan kuasa Allah swt, sesuatu telah terjadi pada diriku….Nak tahu? Ikuti kisah selanjutnya di Siri 2.